fbpx

Cuaca buruk, ikan kembung naik harga RM16 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. SHAMIL menunjukkan saiz ikan kembung yang berharga RM15 sekilogram yang dijual di pasar pagi Tikam Batu, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Harga ikan kembung di daerah Kuala Muda melonjak naik sehingga mence­cah RM16 sekilogram (kg) berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di sekitar pasar pagi Tikam Batu, dekat sini mendapati segelintir peniaga terpaksa menjual hasil laut dengan harga lebih tinggi berbanding sebelum ini kerana jumlah tangkapan nelayan berkurangan.

Peniaga yang juga pemilik Jon Ikan di Tikam Batu, Mohd. Shamil Zulkifli, 27, berkata, harga ikan kembung bersaiz kecil me­ningkat kepada RM15 sekilogram berbanding antara RM8 hingga RM10 sahaja sebelum ini.

Katanya, sementara bagi ikan kembung bersaiz besar pula dijual RM16 sekilogram bagi sekitar 10 hingga 12 ekor berban­ding antara RM12 hingga RM14 ­sebelum ini.

“Sebagai peniaga ikan, kami terpaksa naikkan harga mengikut bekalan semasa dan biasanya harga ikan yang kami jual hanya lebih RM2 sahaja daripada harga peraih,” katanya di sini semalam.

Harga ikan kembung/temenung di pasar pagi Tikam Batu, Kuala Muda pada semalam.

Menurutnya, harga bagi hasil laut lain seperti udang, sotong dan ikan jenis lain seperti bawal, jenahak tidak mengalami kenaikan mendadak seperti ikan kembung.

Sementara itu, seorang nelayan Kuala Muda, Md. Saad Said, 64, berkata, kebanyakan nelayan pukat ikan kembung atau dikenali ikan temenung tidak ke laut sejak hampir sebulan lalu kerana tiada ikan.

Katanya, hasil tangkapan ikan kembung turun mendadak sejak sebulan lalu dan adakalanya tiada langsung menyebabkan nelayan tidak turun ke laut buat masa ini.

“Tidak ada nelayan pukat temenung yang turun ke laut sejak sebulan lalu kerana tiada hasil tangkapan menyebabkan harga ikan tersebut melambung tinggi sejak kebelakangan ini.

“Bagaimanapun saya difahamkan hasil tangkapan udang ketika ini meningkat dengan harga sekitar RM50 sekilogram bagi udang bersaiz sederhana besar berbanding RM60 hingga RM70 sekilogram sebelum ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI