LONDON – Sebahagian besar kerajaan di dunia gagal menangani peningkatan ‘berbahaya’ ketidaksamaan selepas pandemik Covid-19, kata pertubuhan amal antikemiskinan, Oxfam semalam.
Badan amal itu menerbitkan penemuannya menerusi Indeks Komitmen untuk Mengurangkan Ketidaksamaan(CRI) yang mengkaji tindakan dan dasar kerajaan di seluruh dunia dalam menangani ketidaksamaan semasa dua tahun pertama pandemik melanda.
“Covid-19 menyebabkan ketidaksamaan di serata dunia meningkat dengan golongan paling miskin adalah yang paling teruk terjejas oleh Covid-19 dan impak ekonomi akibat pandemik.
“Namun, Indeks CRI 2022 menunjukkan sebahagian besar kerajaan di dunia gagal menangani peningkatan berbahaya ketidaksamaan ini,” demikian menurut laporan setiap dua tahun tersebut.
Oxfam menilai 161 kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 dalam apa yang ia sifatkan sebagai ‘darurat kesihatan global terbesar abad ini’.
Separuh negara di dunia memotong perbelanjaan perlindungan sosial, manakala 70 peratus pula mengurangkan peruntukan pendidikan.
Pandemik juga menyebabkan perbelanjaan pengguna menjunam berikutan perintah berkurung Covid-19 yang kemudian mengurangkan hasil cukai.
Bagaimanapun, sebanyak 143 daripada 161 negara gagal meningkatkan cukai terhadap golongan kaya, malah 11 negara memilih untuk memotong cukai mereka.
Kajian sama mendapati bahawa hanya segelintir kerajaan ‘menongkah arus’ dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memerangi ketidaksamaan.
“Seluruh dunia harus berasa malu kepada segelintir kerajaan ini,” kata Oxfam.
Badan amal antarabangsa itu mendapati bahawa dua pertiga negara di dunia gagal meningkatkan gaji minimum seiring dengan kadar produk keluaran negara kasar (KDNK) masing-masing.
Menurutnya, Norway mengungguli CRI sebagai negara terbaik dari sudut menangani ketidaksamaan, diikuti oleh Jerman, Australia, Belgium dan Kanada. – AFP