ISKANDAR PUTERI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah disenarai hitam untuk kembali memasuki negara ini menerusi satu operasi yang dijalankan di Larkin Sentral dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket Ah Chong berkenaan turut didalangi dua pegawai imigresen yang bertugas di KSAB, dimana kedua-dua mereka telah ditahan, petang tadi.
Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, seramai 25 PATI warganegara Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita beserta dua tekong warganegara tempatan berusia 34 dan 49 tahun turut ditahan.
“Dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota imigresen Putrajaya yang bermula pukul 1.30 petang itu, kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warganegara Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura.
“Modus operandi diguna sindiket ini adalah dengan membawa masuk PATI terbabit melalui LinKedua, sebelum dua Pegawai Imigresen di KSAB yang terlibat akan melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum kemudian dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas.
“Disana, terdapat sebuah bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua PATI terbabit bagi mengaburi mata pihak penguasa.
“Selepas itu, kesemua PATI berkenaan akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB, di sini hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, sindiket itu didapati telah bergiat aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka pada April lalu dengan mensasarkan PATI yang telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini oleh pihak imigresen.
Katanya, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka telah membawa masuk sekurang-kurangnya 600 PATI sejak April lalu dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta sejak beroperasi.
“Kesemua PATI yang dibawa masuk sindiket ini adalah mereka yang telah disenarai hitam imigresen atas pelbagai kesalahan antaranya masuk melalui laluan salah, tinggal lebih masa dan juga menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Sementara itu, dua Pegawai Imigresen yang berusia 20 dan 27 tahun yang terlibat telah dikenalpasti dan sedang diburu bagi membantu siasatan. Sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka,” ujarnya.
Khairul Dzaimee turut memberitahu, kesemua 25 PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua tekong warga tempatan akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE