BANGKOK – Seorang wanita di Thailand ditahan kerana menjalankan operasi klinik pergigian secara haram di dalam keretanya, dekat tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Bangkok, lapor laman berita Thaiger semalam.
Pegawai dari Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) dimaklumkan mengenai kewujudan klinik itu dan iklannya di media sosial. Klinik tersebut dinamakan ‘Fashionable Brace Shop’.
Wanita tersebut, Pornteera, 29, menjalankan operasi klinik gigi secara haram di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di daerah Taling Chan.
Dalam usaha memberkas wanita berkenaan, seorang pegawai menyamar sebagai pelanggan dan membuat temu janji dengannya.
Pornteraa didapati mengenakan bayaran 2,500 baht (RM307) untuk rawatan pendakap gigi palsu yang jauh lebih murah berbanding doktor gigi profesional dengan harga 30,000 baht (RM3,688).
Dia ditangkap di kawasan parkir ketika sedang bersiap sedia untuk bekerja. Pegawai yang terlibat turut merampas alatan pergigiannya yang bernilai lebih 50,000 baht (RM6,148).
Pornteera mendedahkan bahawa caj perkhidmatannya bermula dari 1,000 baht (RM122) dan dia memperoleh pendapatan antara 30,000 (RM3,688) hingga 40,000 baht (RM4,918) sebulan. Dia juga mempunyai kedai di Pasar Sai Tai Mai di daerah Taling Chan.
Wanita itu menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan di kedai dan jika tidak selesa, mereka boleh mendapatkan rawatan di dalam keretanya.
Menurut saluran berita Channel 8, Pornteera didakwa melanggar peraturan Lembaga Perlindungan Pengguna Thailand dengan menjual produk terlarang seperti pendakap gigi palsu dan pelbagai gaya.
Doktor gigi haram itu berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 600,000 baht (RM73,779). – Agensi