ALOR SETAR – Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menanggalkan sebentuk cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam semalam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.45 tengah malam.
“Setibanya pasukan bomba ke lokasi kejadian didapati benar terdapat seorang pesakit lelaki berusia 29 tahun dan terdapat cincin pada kemaluan.
“Anggota kemudian menggunakan peralatan khas untuk memotong cincin pada kemaluan lelaki terbabit,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, proses berkenaan dilakukan secara berhati-hati untuk memastikan tidak berlaku sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE