fbpx

Balai penghulu jadi pos pangkalan hadapan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ( tengah) melakukan simbolik pelancaran kesiapsiagaan JBPM Selangor, hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Balai Penghulu akan dijadikan sebagai pos pangkalan hadapan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan bencana banjir ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, transformasi itu adalah salah satu daripada 13 strategi yang dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor untuk menghadapi banjir.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa balai penghulu yang boleh dijadikan pos pangkalan hadapan.

“Selain anggota bomba, beberapa agensi yang bertanggungjawab dalam operasi banjir juga turut akan ditempatkan di pos tersebut,” katanya ketika selepas melancarkan Kesiapsiagaan JBPM Selangor menghadapi MTL di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendedahkan hasil maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan sebanyak 307 kawasan di sembilan daerah di Selangor dikenal pasti berisiko dilanda banjir berikutan fenomena Monsun Timur Laut dan air pasang besar.

Jumlah itu meliputi 52 kawasan ‘hotspot’ banjir yang melibatkan semua daerah kecuali di Hulu Selangor.

Jelas Amirudin, seramai 40 ahli pertubuhan Sukarelawan Selangor (Serve) juga akan menjalani latihan asas bagi menjalankan tugas menyelamat ketika banjir oleh bomba Selangor.

“Pasukan badan bukan kerajaan (NGO) ini juga boleh terbabit dalam proses SAR yang sedikit berbahaya dan perlukan latihan asas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan bertanggungjawab mengajar kesemua sukarelawan ini.

“Latihan meliputi mengenal pasti risiko air banjir yang berarus dan sebagainya, selain turut diajar bantuan pernafasan asas jika berlaku lemas.

“Kumpulan pertama ini akan menjalani latihan menyelamat di sebuah tasik di Puchong selama empat hari,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI