KUALA NERUS – Pelbagai insentif menarik disediakan kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Bajet 2023 membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan mahasiswa di negara ini.
Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff berkata, mahasiswa perlu mengambil peluang terbaik untuk menikmati tawaran diskaun disediakan melalui bajet tersebut yang bakal bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
“Jumlah yang bakal menerima manfaat itu belum dapat diketahui lagi kerana ia bergantung kepada permohonan yang bakal diterima.
“PTPTN sangat berharap agar mahasiswa dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin kerana penjimatan yang diberi itu agak besar jumlahnya,” katanya selepas menutup program Jelajah Jati Diri Pra Universiti peringkat Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini.
Tawaran diskaun diumumkan
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tersebut melibatkan 20 peratus untuk penyelesaian penuh, 15 peratus untuk penyelesaian separuh baki hutang dan 15 peratus untuk bayaran secara pemotongan gaji.
Dalam pada itu, Apli berkata, keistimewaan turut diberi kepada pelajar daripada keluarga M40 juga membuktikan suara mereka selama ini didengari dan diambil perhatian oleh kerajaan.
“Sebelum ini, pinjaman pelajaran hanya diberi 75 peratus dari jumlah keseluruhan namun kini mereka juga menikmati kemudahan yang sama seperti pelajar B40 apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadarnya hingga 100 peratus.
“Mereka juga berpeluang memohon pinjaman untuk membeli komputer riba dan amaunnya itu akan kita perincikan tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE