fbpx

AirAsia perkenal laluan terus Pulau Pinang ke Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soon Hin (tengah) ketika sidang akhbar sempena pelancaran laluan baharu Pulau Pinang-Bali di Komtar, Pulau Pinang hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – AirAsia Malaysia memperkenalkan laluan penerbangan antarabangsa terus baharu kepada pelanggannya iaitu dari Pulau Pinang ke Bali (Denpasar) bermula 20 Oktober ini.

Ketua Komersialnya, Liyana Mahizzan berkata, ini membuktikan komitmen AirAsia Malaysia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini sejajar dengan memorandum kerjasama (MOC) yang telah ditandatangani dengan Penang Global Tourism (PGT), Ogos lalu.

”Pelancaran laluan terus baharu ini bukan sahaja menawarkan perjalanan yang lancar untuk para tetamu kami, malah akan meningkatkan kemasukan pelancong serantau dan menyokong ekonomi tempatan di kedua-dua buah negara.

“Ini juga bertepatan dengan misi kami untuk memperkasakan rakyat tempatan dan kesejahteraan masyarakat dengan merangsang perjalanan udara dan memacu sektor pelancongan,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran laluan baharu Pulau Pinang-Bali di Komtar, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto dan lain-lain.

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menambah kekerapan AirAsia Malaysia ke Pulau Pinang dengan 156 penerbangan setiap minggu.

Sempena meraikan pengumuman itu, AirAsia akan menawarkan tambang berpatutan antara Bali dan Pulau Pinang daripada RM159 (termasuk semua) sehala bermula hari ini hingga 16 Oktober untuk tempoh perjalanan antara 20 Oktober 2022 dan 25 Mac 2023.

Menurut Liyana, Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan AirAsia Malaysia dan sebagai pemain utama dengan bahagian pasaran terbesar sebanyak 50 peratus sebagai sebuah kumpulan.

“Kami juga akan terus mengembangkan perkhidmatan ke negeri ini pada masa depan,'” katanya.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, pihaknya berbesar hati kerana AirAsia melancarkan laluan terus antarabangsa baharu yang menghubungkan rantau ini lebih dekat dengan Pulau Pinang.

“Memandangkan ini adalah laluan terus pertama dari Bali ke Pulau Pinang, kami berharap ia dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan negeri ini kepada penduduk di Bali dan pelancong antarabangsa yang lain.

“Kami percaya ini akan menjadi satu lagi laluan antarabangsa utama ke Pulau Pinang dan kami memuji usaha berterusan AirAsia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan serantau,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI