SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah bersiap sedia dengan 72 buah bot untuk diatur gerak bagi menghadapi kemungkinan banjir di Selangor.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sebahagian besar bot itu telah ditempatkan di beberapa buah balai bomba dan penyelamat (BBP) untuk kemudahan di lokaliti yang telah dikenal pasti berisiko tinggi banjir itu.
“Kita telah tempatkan 15 buah bot di daerah Petaling manakala beberapa buah bot lain pula ditempatkan di beberapa balai bomba di seluruh daerah negeri Selangor.
“Sekiranya berlaku banjir di sesebuah daerah, kita mungkin ambil bot yang ditempatkan di daerah lain kalau diperlukan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Selangor menghadapi Monsun Timur Laut di BBP Shah Alam, di sini, hari ini.
Norazam turut memaklumkan pihaknya sedang menyusun semula jadual kerja kesemua anggotanya yang berjumlah 1,700 anggota di seluruh negeri.
“Anggota kini tidak dibenarkan untuk bercuti di luar negara atau bercuti dalam tempoh yang lama kecuali mereka mempunyai urusan keluarga yang penting sahaja.
“Saya akan lihat keperluan sekiranya perlu atau tidak cuti anggota dibekukan pada bulan hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norazam meminta orang ramai supaya tidak menularkan video kejadian banjir lama yang boleh mengelirukan orang awam seperti yang di insiden di Taman Sri Muda sebelum ini.
“Kami terpaksa ke sana untuk dapat kesahihan kes itu dan didapati kejadian itu tidak berlaku,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE