JOHOR BAHRU – Perintah tahanan reman terhadap dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut akibat didera disambung selama enam hari.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perintah reman terhadap jurujual kenderaan dan seorang amah itu disambung bermula hari ini.
“Lanjutan tempoh tahanan reman itu bagi membantu polis menjalankan dan melengkapkan siasatan dengan lebih terperinci.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan kerana siasatan masih dijalankan.
“Polis komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab berlandaskan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 4 Oktober lalu, jurujual berusia 28 tahun dan amah warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE