PADANG BESAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dijangka akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 13 Oktober ini.
Tarikh pembubaran DUN itu dijangka diumumkan selepas selesai sidang khas DUN bagi membahaskan undang-undang anti lompat parti yang dijadualkan pada Khamis ini.
Menurut Azlan, beliau akan mempersembahkan tarikh yang bersesuaian kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail agar dapat diadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
Katanya, sidang khas DUN itu penting kerana akan membahaskan mengenai pindaan undang-undang tubuh negeri berkaitan keahlian parti politik supaya ia bertepatan dan bersesuaian dengan pindaan perlembagaan negara.
“Sidang khas DUN itu perlu dilakukan bagi mengelakkan isu percanggahan perundangan dan ia akan dilaksanakan pada 13 Oktober ini.
“Pindaan ini memerlukan perkenan Raja Perlis dan selepas itu barulah akan dilakukan gazet atau pewartaan yang mana perkara tersebut adalah proses terakhir di peringkat pentadbiran,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Besar Felda Chuping, di sini hari ini.
Terdahulu Azlan turut menyerahkan dokumen pemilikan tanah kepada 447 peserta program Felda Chuping yang turut dihadiri wakil-wakil rakyat Parlimen Padang Besar serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Tambahnya, beliau mengharapkan pindaan undang-undang tubuh yang akan dilakukan terpakai kepada wakil-wakil rakyat yang terpilih pada PRU-15.
Katanya, apabila DUN dibubarkan, undang-undang tersebut tidak terpakai kerana ia hanya digubal untuk wakil rakyat dan hanya digunakan selepas pilihan raya nanti. – KOSMO! ONLINE