SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 450 kilogram daun ketum bernilai RM4,500 di Bukit Mertajam, di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis telah menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) setelah mendapati suspek berusia 30 tahun memandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 45 beg plastik warna hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 45 kilogram yang diletakkan di bahagian belakang MPV terbabit.
“Bekalan ketum itu diperolehi dari Kedah dan suspek dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum meneruskan pemanduan ke Kota Bharu, Kelantan. MPV terbabit turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek yang juga pekerja kilang menerima upah sebanyak RM1,000 untuk membawa bekalan daun ketum menggunakan MPV yang disewa.
“Hasil risikan mendapati, sindiket ini aktif dalam kegiatan pengedaran ketum sejak Ogos lalu bagi pasaran negeri Pantai Timur.
“Suspek yang didapati negatif sebarang pengambilan dadah itu mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
“Suspek kini direman selama enam hari bermula 7 Oktober sehingga esok,” tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE