PETALING JAYA – Momentum cemerlang skuad Selangor dibawah kendalian Tan Cheng Hoe berterusan selepas merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Sarawak United 1-0 pada aksi sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Negeri, Kuching itu, Cheng Hoe membariskan kesebelasan utama terbaik dengan jentera serangan diketuai oleh Herlison Caion, Mukhairi Ajmal serta Baha Abdelrahman.
Skuad Gergasi Merah dilihat menguasai permainan dengan aksi menyakinkan dengan hantaran pendek tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, penantian gol pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil menerusi ledakan pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung pada minit ke-71.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Tiga mata penuh yang diraih memastikan skuad Merah Kuning berada di tangga kelima dengan 29 mata hasil lapan kemenangan, lima seri dan lapan kekalahan. -KOSMO! ONLINE