fbpx

Jumlah pengangguran catat penurunan Ogos lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Bilangan penganggur pada Ogos lalu mencatatkan penurunan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 orang pada bulan sebelumnya dengan kadar pengangguran kekal pada 3.7 peratus berdasarkan Statistik Tenaga Buruh terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan pasaran buruh pada Ogos kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

Menurutnya, aktiviti perniagaan serta sosial yang terus beroperasi seperti biasa membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

“Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang (Julai 2022: 16.60 juta orang). Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut.

“Bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus bertambah terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.

Beliau berkata, trend yang sama dicatatkan dalam sektor pembuatan dan pembinaan, manakala guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian pula berkurangan.

“Kategori pekerja yang bergaji meningkat sebanyak 22,100 orang iaitu pertambahan 0.2 peratus kepada 12.17 juta orang pada bulan Ogos 2022 (Julai 2022: 12.14 juta orang) atau mewakili 76.0 peratus daripada penduduk bekerja.

“Pada masa yang sama, penduduk bekerja sendiri juga meningkat sebanyak 17,200 orang iaitu pertambahan 0.6 peratus kepada 2.80 juta orang (Julai 2022: 2.79 juta orang),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI