fbpx

JDT mudah ‘ratah’ Sang Kenari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC meraikan gol pertama jaringan Ronald Ngah pada perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan sebelum menang 4-1 menewaskan Sang Kenari pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad muncul wira Harimau Selatan apabila dua gol jaringannya pada babak kedua membantu pasukan mengutip tiga mata sekali gus mengheret kelab lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC kalah buat kali keempat berturut-turut.

Pada minit ke-41, Wanja Ronald Ngah yang mendapat umpanan cantik Fayadh Zulkifli Amin mensia-siakan peluang terbaik skuad Hijau Kuning setelah sepakan voli yang dilakukan sedikit tersasar.

Ronald Ngah mengubati kekecewaan itu apabila meledak gol pembukaan menerusi sepakan lambung menewaskan Farizal Marlias yang terkapai-kapai pada akhir babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, pasukan JDT menggandakan serangan bertali arus bagi memburu gol penyamaan, memaksa KDA FC membentuk formasi bertahan.

Skuad Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti setelah hantaran Corbin Ong ke dalam kotak penalti terkena tangan pertahanan lawan, Loqman Hakim Marzuki. Peluang terhidang itu tidak disia-siakan Bergson yang meledak menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49.

Syafiq yang dibawa masuk menggantikan Akhyar tidak mengambil masa lama untuk mencetak gol apabila memanfaatkan hantaran silang Afiq Fazail dengan menjaringkan gol menggunakan tumit pada minit ke-63.

Lima minit berselang, Syafiq menambah jaringan berpunca daripada gerakan cantik Bergson yang bijak melepasi kawalan dua pemain pertahanan sebelum melorongkan bola kepada penyerang kebangsaan itu untuk meledak gol kedua peribadinya.

Pada babak akhir perlawanan, Bergson menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol keempat perlawanan memastikan JDT mempamerkan kebangkitan dengan menang bergaya 4-1 menewaskan Sang Kenari.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI