BALING – Sepasang warga emas tabah menjaga anak lelaki mereka berusia 38 tahun yang terlantar akibat penyakit kanser otak tahap empat sejak awal tahun ini.
Menurut Bakar Taib, 63, dia dan isteri, Hamtiah Chik, 72, yang mengalami masalah pendengaran perlu menguruskan Hasrolnizan.
Katanya, sebelum disahkan menghidap kanser, Hasrolnizan kerap mengadu sakit kepala yang teruk dan sering pengsan selain penglihatan menjadi kabur.
“Tidak lama selepas itu, dia menjadi kejang seperti dalam keadaan nazak dan terus dikejarkan ke Hospital Daerah Baling.
“Memandangkan keadaannya agak serius, dia dirujuk ke Hospital Kulim dan Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum disahkan menghidap kanser otak tahap empat,” katanya di rumahnya di
Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang di sini baru-baru ini.
Bakar berkata, anaknya kemudian menjalani pembedahan pada kepala dan menerima rawatan di HPP selama dua bulan untuk pemantauan dengan tahap kesembuhan 50 peratus sahaja.
“Kami membawanya pulang ke rumah dan berulang-alik ke HPP selama enam kali untuk rawatan kemoterapi, namun keadaannya masih tidak berubah.
“Dia kini hanya terlantar dan badannya tidak boleh bergerak serta hilang ingatan dan penglihatan,” ujarnya.
Kata Bakar, dua anak lelaki Hasrolnizan yang berusia 14 dan 16 tahun kini berada di asrama sekolah dan kos pengajian ditanggung bekas isteri dan adik-beradik lain.
“Saya tidak mampu lagi bekerja, kadangkala jika keadaan Hasrolnizan agak baik dan cuaca elok, saya berani tinggalkannya untuk pergi menoreh, itu pun hanya selama tiga jam.
“Saya hanya harap bantuan anak-anak kerana hasil menoreh hanya RM10 sehari, sedangkan perbelanjaan perubatan, susu khas, ubat serta lampin pakai buang Hasrolnizan dan kos perbelanjaan ulang-alik ke HPP lebih RM800 sebulan,” ujarnya.
Katanya, dia juga tidak boleh keluar menoreh dalam tempoh lama kerana isterinya mengalami masalah pendengaran.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Bakar di talian 011-1050 2958 atau melalui akaun Bank Rakyat 22-004-141923-4 atas nama Bakar Taib.