TIDAK semua yang kelihatan cantik itu mahal. Adakalanya, barang yang murah akan nampak berkelas tinggi jika pandai digayakan.
Begitu situasi yang berlaku terhadap aktres dan pengarah, Goo Hye-sun apabila sehelai dres berwarna hitam paras paha yang dipakainya ke sebuah acara baru-baru ini menuai perhatian.
Dia tampil ringkas memakai dres berlengan panjang itu dipadankan dengan kasut tumit tinggi berwarna hitam dan sepasang anting-anting.
Bagaimanapun ujar aktres yang popular dengan drama Boys Over Flower itu, dres yang dipakainya tidaklah mahal dan bukan daripada jenama mewah.
“Memandangkan ramai yang bertanya tentang baju saya pakai ini. Jadi saya kongsikan kepada semua.
“Dres ini cuma berharga 38,000 won (RM125) tanpa ada jenama,” dedahnya.
Dia mengenakan fesyen itu ketika muncul pada hari pertama majlis Festival Filem Antabangsa Busan 2022 pada 5 Oktober lalu.
Hye-sun menghadiri festival tersebut sebagai pengarah untuk filem The Peachtree yang merupakan arahan, terbitan dan skripnya sendiri.