fbpx

Bomba pantau ban pecah sebelum air pasang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja membaiki ban pecah sedang dijalankan pihak berwajib.

KUALA SELANGOR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memantau secara menyeluruh tiga lokasi yang dinaiki air susulan ban pecah di sekitar Tanjong Karang di sini, hari ini.

Pemantauan di Kampung Tok Adam, Jalan Masjid Baru dan Taman Kompema dilakukan sebagai persediaan fenomena air pasang besar petang ini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya sudah membuka Pusat Kawalan Bomba (PKB) di kawasan itu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, tiga bot bersama sepasukan 12 anggota termasuk pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sekinchan ditempatkan di pusat tersebut.

“Pemantauan lanjut sedang dijalankan sebagai persediaan air pasang yang dijangka berlaku pukul 6 petang ini.

“Ban yang pecah ketika kerja menaik taraf benteng itu kini sedang giat dibaiki sebelum fenomena berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam, kesemua tiga kawasan itu telah surut dan berada dalam keadaan terkawal.

“Hanya terdapat seorang mangsa warga emas terjejas dan sudah dipindahkan ke rumah ahli keluarganya.

“Tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo Online! melaporkan Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh di sini, dinaiki air akibat kejadian ban pecah di sekitar kawasan itu.

Kejadian kira-kira pukul 7 pagi tadi mengakibatkan berlaku limpahan air ke jalan antara 0.3 hingga 0.9 meter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI