PETALING JAYA – Semalam, sebuah konsert Super Junior Super Show 9: Road di Kuala Lumpur telah mendapat sambutan hebat dalam kalangan peminat fanatik K-pop.
Pelbagai video memaparkan suasana sekitar konsert turut dikongsikan di media sosial oleh pengguna, namun menarik perhatian ramai apabila sebuah video yang memperlihatkan reaksi teruja salah seorang pengunjung ketika berjaya mendapatkan bekas botol mineral milik salah seorang ahli Super Junior.
Menerusi perkongsian Muhaiminah Mutalib di TikTok, kedengaran suara seorang pengunjung meminta petugas konsert untuk mengambilkan botol mineral yang diminum oleh Shindong dari atas pentas.
“Saya yang minta, itu botol Shindong, terima kasih abang tolong ambilkan botol Shindong,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik akaun tersebut turut berkongsi beberapa klip video sewaktu kumpulan K-pop kesayangan ramai itu sedang membuat persembahan di atas pentas.
Sementara itu, sebuah kelab peminat Super Junior, MalaysianELF di Twitter hari ini memuat naik ciapan meminta mana-mana individu yang telah memuat naik dan menyiarkan video Super Junior yang menampakkan bahagian tubuh badan penyanyi tersebut agar segera memadamkannya.
“Kami dengan rendah hati meminta semua ELF, antarabangsa dan tempatan, yang telah menghantar atau menyiarkan semula mana-mana video atau foto Siwon dan Leeteuk (jelas atau kabur) menunjukkan ‘abs’ mereka di #SSinKL malam tadi, di Facebook, Twitter, Instagram, TikTok atau mana-mana platform media sosial untuk menghapuskan segera.
“Kami memohon kerjasama anda untuk membantu kami menyampaikan mesej ini kepada semua ELF termasuk laman peminat juga, kalau nak tengok Super Junior di Malaysia lagi,” ciapnya.
Menurut kelab tersebut, sekiranya video yang tidak sepatutnya terus tersebar, ia kemungkinan akan mengakibatkan kumpulan K-pop berkenaan disekat dari membuat persembahan di Malaysia.
“Kami percaya semua peminat K-pop di Malaysia sedar tentang ‘akibat’ kepada aktiviti K-pop di Malaysia, jadi tolong bantu kami untuk bersihkan mereka kali ini.
“Ahli Super Junior telah meminta maaf mengenainya malam tadi jadi mari kita bantu mereka untuk mengosongkan carian di media sosial mengenai perkara ini. Sumbangan anda penting untuk keseluruhan konsert K-pop di Malaysia juga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE