SEMEMANGNYA pelbagai cara boleh dilakukan untuk membahagiakan insan-insan lain terutamanya mereka yang kurang bernasib baik.
Justeru, bagi menceriakan penghuni rumah kebajikan baru-baru ini, syarikat pengeluar tayar, Toyo Tires Malaysia telah membawa anak-anak yatim dan asnaf dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-Anak Kristal, Taiping, Perak melawat Zoo Taiping.
Lawatan sambil belajar melibatkan 28 penghuni pusat jagaan itu dibuat sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Menurut Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tires Malaysia, Mike Toh, tujuan program CSR yang sudah dijalankan selama lapan tahun itu adalah untuk mendekati anggota masyarakat, terutama golongan yang memerlukan.
“Sebelum ini, menerusi program Toyo Tires Charity Run yang mendapat lebih 1,000 penyertaan, yuran daripada aktiviti itu telah disalurkan kepada badan kebajikan atau sekolah terpilih.
“Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan sejak kami menjalankan program itu termasuklah Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-Anak Kristal ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program lawatan itu.
Menurutnya, dalam program itu, anak-anak yatim dari pusat jagaan berkenaan diberi peluang melawat Zoo Taiping sebagai pendedahan tentang dunia haiwan dan alam sekitar.
Pada masa sama, Toyo Tires Malaysia turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pusat jagaan tersebut.
Mike berharap sumbangan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk perbelanjaan harian, pendidikan dan sebagainya demi kebajikan anak-anak tersebut.
Dalam pada itu, ujar Mike, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini, telah merencatkan kelancaran program CSR yang telah dirancang syarikat tersebut.
Katanya, untuk tempoh dua tahun, pihaknya tidak dapat menjalankan program seumpama itu bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan sumbangan dan bantuan.
Beritahunya lagi, syarikat itu akan mengadakan program CSR sebanyak dua kali setahun serta menawarkan program biasiswa kepada pelajar universiti terpilih dan juga golongan yang memerlukan.
“Setiap tahun, seramai 40 pelajar sekolah menerima bantuan kewangan berjumlah RM2,400 setahun.
“Setiap bulan kita akan salurkan sebanyak RM200 kepada pelajar-pelajar berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, syarikat itu turut bermurah hati dengan menawarkan biasiswa kepada 16 pelajar universiti.
“Bagi pelajar universiti yang menerima biasiswa ini, mereka akan mendapat lebih RM300 sebulan.
“Syarikat telah memperuntukkan lebih kurang RM200,000 untuk program biasiswa sahaja,” katanya.
Selain itu, Mike berkata, pekerja-pekerja syarikat berkenaan terlibat dalam program Green For Charity, yang mana pekerja-pekerja akan mengutip barang-barang buangan di kilang dan mengasingkannya untuk dijual.
“Dari situ, kita boleh menjana kewangan menerusi dana yang dipanggil Kasih Sayang Charity Fund.
“Dana tersebut digunakan untuk program CSR seperti ini.
“Jadi, ini adalah usaha daripada setiap pekerja. Saya ada seramai 1,700 orang pekerja dan sebagai pengeluar tayar terbesar di Malaysia, kita ada banyak bahan mentah untuk dikitar semula,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Kristal, Chantal Darai, 59, berkata, lawatan itu secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada anak-anak tentang haiwan dan alam sekitar.
“Kami amat berterima kasih atas sumbangan yang diberi dan penganjuran program seperti ini.
“Anak-anak di sini pun gembira kerana sudah lama tidak ada aktiviti seperti ini sejak pandemik,” katanya.
Chantal berkata, sumbangan RM10,000 yang diberi itu akan diguna sebaik mungkin untuk kebajikan anak-anak di situ.
Dalam pada itu, seorang remaja penghuni pusat jagaan berkenaan, S.Buniswari, 13, berkata, dia berasa seronok dengan aktiviti yang dijalankan.
“Saya gembira dapat belajar jenis-jenis haiwan. Bila sampai sini, barulah saya faham dan lebih jelas tentang habitat dan alam semula jadi,” katanya.