CARACAS, VENEZUELA – Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban dan 52 lagi masih hilang dalam bencana tanah runtuh akibat hujan lebat yang disebabkan oleh fenomena cuaca, La Nina, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Hujan lebat itu mengakibatkan kejadian tanah runtuh di bandar Las Tejerias, selatan Caracas. Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez melawat Las Tejerias yang merupakan antara kawasan paling teruk terjejas kelmarin.
Beliau berkata, perkhidmatan kecemasan kini berusaha untuk mencari mangsa yang masih hilang.
Presiden Nicolas Maduro menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘sukar dan perit’.
Kira-kira 1,000 anggota pasukan kecemasan mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat, kata Timbalan Menteri Perlindungan Awam, Carlos Perez Ampueda.
Tanah runtuh berlaku selepas tebing Sungai El Pato pecah, mengakibatkan air banjir melimpah dan menghanyutkan sejumlah kediaman dan kedai berhampiran.
“Kampung tersebut musnah. Las Tejerias sudah hilang,” kata seorang penduduk tempatan, Carmen Melendez.
Las Tejerias yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Caracas, adalah kawasan yang paling teruk dilanda fenomena cuaca La Nina di Venezuela tahun ini.
La Nina merupakan fenomena yang berlaku secara semula jadi, melibatkan proses penyejukan Lautan Pasifik dan kebiasaannya membawa kepada persekitaran lebih lembab di Benua Asia, Afrika dan rantau Amerika Latin. – Agensi