fbpx

185 orang termasuk 19 kanak-kanak terbunuh dalam protes di Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai berkumpul di sebelah motosikal yang terbakar di Teheran pada 8 Oktober lalu. – AFP

TEHERAN – Protes anti kerajaan berterusan di seluruh Iran kelmarin dengan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 185 orang termasuk kanak-kanak terbunuh, lapor akhbar New York Post.

Demonstrasi itu bermula selepas seorang gadis berusia 22 tahun, Mahsa Amini meninggal dunia ketika dalam tahanan polis Iran.

Tunjuk perasaan yang bermula pada 17 September lalu semasa majlis pengebumian Mahsa di bandar Kurdishnya Saqez, bertukar menjadi cabaran paling getir kepada pemerintah Iran. Penunjuk perasaan kini mendesak Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei supaya berundur.

“Sekurang-kurangnya 185 orang termasuk 19 kanak-kanak terbunuh dalam tunjuk perasaan di seluruh Iran. Korban tertinggi berlaku di wilayah Sistan dan Baluchistan yang merekodkan separuh daripada jumlah tersebut,” kata Pertubuhan Hak Asasi Manusia Iran yang berpangkalan di Norway, Sabtu lalu.

Pihak berkuasa Iran mendakwa, protes itu didalangai oleh musuh Iran termasuk Amerika Syarikat (AS). Mereka menuduh kumpulan penunjuk perasaan terlibat melakukan keganasan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 anggota keselamatan terbunuh.

Rakaman dikongsi di media sosial memaparkan situasi protes di berpuluh-puluh bandar di Iran yang turut disertai oleh beratus-ratus pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti. Walaupun pasukan keselamatan bertindak menggunakan gas pemedih mata, belantan dan peluru hidup, mereka tetap meneruskan bantahan,  kata kumpulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran telah menafikan penggunaan peluru hidup dalam meleraikan protes.

Sebuah klip video yang dimuat naik di laman Twitter memaparkan pasukan keselamatan yang bersenjatakan belantan, menyerang pelajar di sebuah sekolah menengah di Teheran.

Dalam klip video berasingan pula, seorang lelaki didengari menjerit ‘jangan pukul isteri saya, dia hamil’, ketika cuba melindungi mangsa daripada polis di bandar Rafsanjan pada Sabtu lalu.

Satu lagi Rakaman menyaksikan pasukan keselamatan mengejar berpuluh-puluh pelajar sekolah di bandar Abbas. Kebanyakan kedai di beberapa bandar ditutup selepas aktivis menggesa mogok besar-besaran.

Sementara itu, agensi berita Tasnim memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran memberi amaran bahawa hukuman berat akan dikenakan bagi mereka yang dianggap sebagai perusuh. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI