TEHRAN – Stesen penyiaran milik kerajaan Iran digodam kelmarin ketika siaran berita ditayangkan, dipercayai dilakukan oleh kumpulan penunjuk perasaan sebagai protes terhadap kepimpinan negara itu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Satu paparan topeng muka muncul di skrin televisyen, diikuti dengan gambar Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dengan imej api di sekelilingnya. Kumpulan yang menggodam sistem penyiaran itu menamakan diri mereka sebagai ‘Adalat Ali’ atau ‘Keadilan Ali’.
Ketika insiden tersebut, sebuah program berita terganggu sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) ketika imej Ayatollah Ali dipaparkan di samping lambang berbentuk sasaran tembakan.
Turut dipaparkan adalah gambar Mahsa Amini dan tiga wanita lain yang terbunuh dalam siri protes membantah kematian gadis berkenaan ketika berada dalam tahanan polis Iran.
Salah satu keterangan gambar itu berbunyi: “Sertai kami dan bangkit”, manakala satu lagi bertulis: “Darah belia kami menitis dari kaki anda”.
Gangguan siaran tu berlangsung hanya beberapa saat sebelum ia ditamatkan.
Insiden yang melibatkan pemberontakan terhadap Ali Khamenei jarang-jarang berlaku sebelum ini kerana beliau hampir berkuasa sepenuhnya di Iran.
Perbezaan pendapat secara terbuka bagaimanapun jelas ditonjolkan selepas kematian Mahsa yang mencetuskan kemarahan di seluruh Iran termasuk beberapa negara di seluruh dunia. – Agensi