fbpx

Pengamal media mula ‘berkampung’ di Pejabat PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Spekulasi berhubung pengumuman penting bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini terus hangat diperkatakan apabila rata-rata pengamal media mula ‘berkampung’ di pejabat beliau ketika ini.

Difahamkan, kehadiran pengamal media di perkarangan Pejabat Perdana Menteri sejak pukul 8 pagi tadi bertujuan untuk mendapatkan jawapan daripada Ismail Sabri berkenaan spekulasi tersebut.

Ketika ini, tiada sebarang perjalanan keluar masuk dilaporkan melibatkan menteri Kabinat ke pejabat berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa kenderaan dilihat memasuki bangunan tersebut dipercayai merupakan kakitangan yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan Ismail Sabri dijangka mengumumkan sesuatu hari ini sekali gus menguatkan lagi spekulasi berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sumber dalaman UMNO ketika dihubungi Kosmo! semalam berkata, pengumuman tersebut bakal dibuat pagi ini.

“Tidak boleh nak kata lagi, mungkin bubar (Parlimen) atau tidak, kalau ada mungkin pagi esok,” katanya.

Desas-desus berhubung pembubaran Parlimen kembali kencang apabila ada dakwaan mengatakan Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara petang semalam.

Sebelum ini, Ismail Sabri juga telah bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu sebelum sesi perbentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang berlangsung pada Jumaat.

Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari sehingga 16 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI