Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
BALING – Penduduk mukim Kupang terutama Kampung Iboi di sini, yang masih trauma akibat tragedi kepala air dan banjir kilat pada 4 Julai lalu kini dalam keadaan resah gelisah apabila kawasan tersebut kerap dilanda hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Kebimbangan mereka itu semakin meningkat apabila terdapat beberapa kawasan di Kedah termasuk di daerah ini dan Kuala Muda sudah dinaiki air.
Tinjauan Kosmo! di perkampungan itu mendapati, rata-rata penduduk dalam keadaan berwaspada dengan ada yang sudah membuat persiapan awal menghadapi bencana tersebut.
Ada dalam kalangan penduduk yang sudah mula menyimpan dokumen penting di dalam beg khas dan diletakkan di dalam kereta, memasang rak besi tinggi untuk meletak barangan berharga selain membina loteng.
Penduduk Kampung Iboi, Abdullah Ahmad, 66, berkata, dia tetap mahu tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah bapanya meskipun terletak berhampiran sungai dan Jambatan Bailey.
“Hati memang berdebar-debar bila nampak awan hitam di kawasan Gunung Inas, namun saya mahu terus tinggal di sini meskipun sudah empat kali dilanda kepala air dan banjir.
“Apa yang saya boleh buat adalah pantau cuaca, jika hujan lebat berlarutan di kawasan Gunung Inas, saya dan isteri akan lari ke tempat tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Abdullah menjelaskan, sehingga kini dia masih membaiki rumah pusaka itu yang rosak akibat kejadian kepala air pada Julai lalu.
Seorang lagi penduduk Kampung Padang Empang, Zainul Salleh, 70, berkata, dia sentiasa berada di dalam pondok yang dibina berhampiran rumah bagi mengawasi paras sungai.
“Saya akan tunggu di sini, jika nampak pelik, saya dan isteri akan lari ke tempat tinggi,” katanya.
Zainul berharap, kerja-kerja mendalamkan sungai yang kini dipenuhi dengan mendapan pasir itu perlu dipercepatkan bagi mengelak rumah berhampiran sungai dilanda banjir.