fbpx

Siti Nurhaliza tegur etika penulisan blog hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Nurhaliza berharap agar media menulis berita mengikut fakta dan jangan mengubah apa yang keluar dari mulutnya sehingga boleh mengundang komen bukan-bukan daripada netizen.

PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara mengambil pendekatan berhemah dengan menegur secara baik sebuah blog hiburan yang menulis tajuk artikel tidak betul mengenai anaknya, Siti Aafiyah.

Siti menerusi perkongsian dalam Instagram memuat naik tangkap layar tajuk artikel berkenaan yang tertulis ‘Siti Nurhaliza lebih gembira Aafiyah jadi ahli politik’.

Kata penyanyi berusia 43 tahun itu, tajuk artikel tersebut jauh berbeza dengan jawapan yang diberikannya ketika ditemu bual media sewaktu ditemui pada sebuah sidang akhbar 6 Oktober lalu.

“Cuba tonton (video siaran langsung) saya pada 6 Oktober, saya ada kongsi di sini (Instagram). Dengar apa yang saya jawab apabila media bertanyakan tentang Aafiyah.

“Tajuk berita ini jauh berbeza dengan jawapan saya. Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis,” jelas Siti.

Tambah pelantun lagu Anta Permana itu lagi, tajuk yang lari dari kenyataan asalnya itu akhirnya mengundang komen-komen negatif daripada netizen.

Tegasnya, apa yang dimahukan adalah agar pihak media melakukan kerja dengan bertanggungjawab dan tidak mengubah fakta yang keluar dari mulutnya.

“Apa yang saya tekankan adalah mengenai etika menulis. Jangan mengubah fakta dan saya pula yang terkena impak negatifnya.

“Saya berharap agar blog hiburan ini bertanggungjawab atas artikel dan tajuk yang ditulis.

“Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk,” katanya lagi.

Terdahulu ketika ditemui media pada 6 Oktober lalu pada sidang akhbar Konsert A Night To Remember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor mendedahkan dirinya enggan anak sulungnya, Siti Aafiyah menjadi penyanyi.

Dia sebaliknya lebih gemar jika Aafiyah, 4, memilih menjadi ahli perniagaan apabila dewasa kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI