fbpx

Ribuan ikan salmon liar mati akibat kemarau di British Columbia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pantai barat British Columbia mengalami sedikit hujan sejak lima minggu lalu dan beberapa kawasan mengalami kemarau tahap empat. – Handout

OTTAWA – Spesies salmon liar menjadi mangsa terbaharu akibat kemarau yang melanda wilayah British Columbia di Kanada selama sebulan dengan beribu-ribu bangkai ikan itu ditemui di sepanjang tebing sungai, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Dalam sebuah klip video yang dikongsikan secara online minggu lalu, bangkai-bangkai ikan salmon spesies merah jambu dan chum didapati terapung dan hanyut ke tebing sungai.

Menurut ahli-ahli biologi, lebih 70 peratus daripada ikan mati di dasar anak sungai sebelum sempat membiak.

Salmon liar sering menunggu hujan sebagai petunjuk untuk ‘menongkah’ arus sungai kerana paras air yang meningkat akan memudahkan ia berenang ke lokasi kelahiran asal.

“Sungguh menyedihkan untuk melihat perkara ini berlaku. Paras air sungai adalah rendah di kebanyakan kawasan sekarang dan bukan hanya di rantau Heiltsuk, British Columbia. 

“Kami menyaksikan kematian ikan salmon sebelum ia sempat bertelur secara tahunan. Tetapi belum pernah sampai ke tahap ini,” kata pengurus pertubuhan  pemuliharaan Heiltsuk Nation, William Housty.

Housty mendakwa, kira-kira 10 hari yang lalu, hujan rintik pada waktu petang dan air pasang memberi isyarat palsu kepada ikan-ikan salmon untuk ‘berpindah’. Anak sungai yang menjadi kering kerana ketiadaan air kemudian menyebabkan ia terkandas.

Salmon Pasifik liar sering kali mati selepas menggembara melalui anak-anak sungai yang berliku. Bangkainya kemudian diagihkan atau dimakan oleh beruang, burung, serigala atau mana-mana haiwan lain yang memberi manfaat kepada hutan.

Populasi salmon liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan penurunan yang lebih besar.

Memandangkan hujan tidak turun di sepanjang pantai barat wilayah British Columbia sejak kebelakangan ini, banyak kawasan dilaporkan mengalami kemarau tahap empat yang dipercayai memberi kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI