LONDON – Seorang samseng remaja yang diberi julukan remaja paling berbahaya di Scotland didakwa menikam dua pegawai penjara menggunakan sebilah pisau ketika dihidangkan makan malam, lapor akhbar Mirror UK, semalam.
Darren Cornelius, 32, bertindak mencederakan dua pegawai di selnya yang terletak di penjara HMP Shotts, Lanarkshire.
Ketika kejadian, Cornelius didakwa berang mengenai makanan yang diterimanya sebelum bertindak mengeluarkan pisau kecil dari poketnya.
Empat pegawai kemudian mengeluarkan belantan untuk perlindungan tetapi Cornelius sempat menikam pegawai bernama Andrew Philips di bahagian kiri badannya. Mangsa mengalami kesan tusukan sedalam 1 sentimeter berhampiran tulang rusuknya.
Cornelius kemudian dipukul menggunakan belantan tetapi berjaya menusuk lengan seorang lagi pegawai, Derek McKay sehingga menyebabkan luka kecil.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Wishaw untuk mendapatkan rawatan dan disahkan tidak cedera parah.
Dalam satu pautan video yang dikongsikan penjara HMP Berlinnei di Mahkamah Syerif Hamilton, Cornelius mengaku menyerang dua pegawai berkenaan pada September lalu.
“Cornelius nampaknya tidak menyukai makanannya dan meluahkan rasa marah kepada pegawai penjara,” kata timbalan pendakwa raya, Alice Carey.
Cornelius telah dihukum penjara seumur hidup kerana mencederakan Daniel Sweeney dalam serangan pisau secara rambang di Edinburgh pada 2007.
Pada 2019, dia dihukum penjara 10 tahun kerana mengelar seorang pembunuh upahan, Marcello Pacitti di sebuah bengkel di penjara HMP Edinburgh.
Ketika berusia 11 tahun pada 2000, Cornelius menculik seorang gadis berusia sembilan tahun dari rumah neneknya di Fountainbridge sebelum menikam mangsa sebanyak lapan kali. – Agensi