SUZUKA – Pelumba pasukan AlphaTauri, Pierre Gasly sah akan menyertai Alpine pada saingan Formula Satu (F1) musim depan bagi menggantikan Fernando Alonso yang berhijrah ke Aston Martin.
Alpine mengambil keputusan tersebut selepas pilihan utama mereka, Oscar Piastri yang merupakan produk program pelumba muda mengambil keputusan untuk menandatangani perjanjian dengan McLaren.
Meskipun masih memiliki baki kontrak sehingga tahun depan, namun Alpine mengambil pendekatan dengan melakukan rundingan bersama AlphaTauri bagi membolehkan Gasly meninggalkan pasukan itu lebih awal.
“Saya sangat gembira untuk menyertai keluarga Alpine dan memulakan episod baharu dalam karier Formula Satu. Memandu untuk pasukan yang memiliki akar umbi dari Perancis merupakan perkara istimewa.
“Sudah tentu saya tahu kekuatan yang dimiliki Alpine kerana sudah banyak kali bersaing serta berlumba dengan mereka. Progres serta cita-cita yang mereka tunjukkan sangat menakjubkan,” kata Gasly.
Sementara itu, pelumba Belanda, Nyck de Vries bakal mengambil alih posisi Gasly di AlphaTauri selepas berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan pada Grand Prix (GP) Itali bersama Williams.
“Saya berterima kasih kepada Red Bull dan AlphaTauri kerana beri peluang kepada saya untuk berlumba dalam Formula Satu. Perlumbaan ini adalah impian saya sejak kecil dan sekarang saya akan realisasikannya,” ujar De Vries. – AGENSI