fbpx

Oh! Zul Ariffin, siapa malaikat, siapa pula yang syaitan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TINDAKAN Zul Ariffin mengaku bersalah atas pertuduhan menyiarkan kandungan sumbang baru-baru ini boleh dianggap matang dan berani berdepan khilaf sendiri.

SELEPAS tujuh bulan terpalit kontroversi memuat naik video trailer mempamerkan sedutan babak panas lakonannya menerusi drama bersiri Perempuan Itu, aktor tampan, Zul Ariffin yang terheret ke mahkamah, akhirnya mengaku bersalah.

Selepas pertuduhan dibacakan pada Selasa lalu, Zul dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000.

Kes yang menimpa pelakon berusia 36 tahun itu sekali gus menjadi pengajaran bukan sahaja kepada dirinya, bahkan juga kepada seluruh pemain industri termasuk, penerbit, pengarah dan penyiar agar lebih peka serta berhati-hati dalam meraih publisiti sesebuah karya.

Bagi sesetengah pihak, mungkin tindakan Zul memuat naik klip video ‘panas’ sedutan babak lakonannya dalam drama arahan pengarah Ain Sharif itu suatu hal kecil yang tidak perlu diperbesar-besarkan.

Namun, Malaysia mempunyai peraturan berkaitan penguatkuasaan media sosial dan internet mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM). Seseorang boleh dianggap menyalahi undang-undang jika berkongsi suatu hantaran berbentuk sumbang sehingga mencuit sensitiviti masyarakat.

Kes melibatkan Zul turut menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa apabila menggesa agar pelakon itu disiasat dan diambil tindakan undang-undang.

Usai dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Sepang baru-baru ini, hero J Revolusi itu menjelaskan pendekatan mengaku bersalah dibuat sebagai jalan terbaik untuk tidak memanjangkan kes tersebut.

Apa yang menarik, ungkapan ‘malaikat’ yang disebutkan Zul pada hari kejadian bagaikan memulangkan paku buah keras kepada pihak tertentu yang barangkali terlibat di sebalik pembikinan video sumbang Zul sebelum ini.

“Yang lain yang terlibat semua malaikat, saya seorang sahaja yang bukan, jadi sayalah yang mengaku, tidak mengapa.

“Kita semua lakukan kesilapan, sekurang-kurangnya jadikan pengajaran kepada pelakon di luar sana jika disuruh muat naik apa-apa tidak perlulah akur sangat.

“Jadikan saya sebagai contoh,” katanya kepada pemberita.

Berbunyi sinis dan menjadi tajuk utama, timbul persoalan, siapakah ‘malaikat atau pihak yang dimaksudkan Zul apabila mendakwa dia sebenarnya disuruh memuat naik video tersebut dalam media sosial. Lebih malang, hanya Zul yang terbukti bersalah, manakala pihak lain ‘terselamat’.

Tidak habis dengan sindiran ‘malaikat, menerusi satu ciapan dalam Twitter yang dimuat naik pada Khamis lalu juga mencetuskan satu lagi teka-teki kepada netizen apabila pelakon itu seolah-olah menyindir seseorang menerusi ayat ‘makan cili’ yang digunakan.

“Jaga makan dan kurangkan makan cili nanti menggelupur. Minum air yang banyak, baik untuk kesihatan,” katanya ringkas.

Seiring kisah hangat Zul, nama penerbit drama Perempuan Itu, Erma Fatima pastinya turut terkait.
Erma ketika dihubungi Kosmo! bertegas, dia langsung tidak tersinggung ataupun terasa hati dengan kenyataan oleh Zul yang menyifatkan pihak lain, mungkin produksi dramanya sebagai ‘malaikat’ memandangkan hanya aktor itu sahaja berdepan hukuman.

“Saya tidak terasa pun dengan kenyataan tersebut,” jawabnya ringkas.

Selaku penerbit, Erma percaya kejadian tersebut akan menjadi pengajaran oleh semua pihak, selain menyifatkan kes berkenaan sebagai pesanan Tuhan.

“Saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ini juga pesan Allah kepada kita semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI