PETALING JAYA – Seorang pelanggan kecewa apabila nasi lemak yang dibelinya pada harga RM2.50 sebungkus hanya berisikan dua ikan bilis serta tiga biji kacang tanah.
Bukan itu sahaja, timun dan telur juga tidak diletakkan dalam hidangan berkenaan.
Menurut pengguna media sosial, Khairi Amsyar, dia menyifatkan makanan tersebut sebagai ‘nasi lemak akhir zaman’ kerana hasilnya tidak seperti kebiasaan nasi lemak yang dijual.
Difahamkan, dia membeli nasi lemak itu di sebuah kedai yang terletak di Behrang, Perak.
Meskipun harga hidangan berkenaan cuma RM2.50, namun melihat isi dalamnya seperti tidak berbaloi kerana hanya dibalut menggunakan daun pisang dan surat khabar sahaja.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi turut diberikan oleh pengguna lain dan rata-ratanya bersetuju dengan sikap sebahagian besar peniaga yang hanya mengejar keuntungan daripada kualiti makanan yang dijual.
“Kalau sikit macam itu, RM1.50 paling mahal pun nak jual, kalau sampai RM2.50 memang ambil kesempatan. Banyak barang mentah sudah dikawal harga, tak payah nak bagi alasan barang mahal dengan letak harga makanan macam ‘yahudi’,” tegur Anne.
“Peniaga boleh pergi haji balik hari, seminggu berniaga, untung beribu-ribu kalau macam ini,” seloroh Amirul. – KOSMO! ONLINE