SUZUKA – Pelumba pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen menyambar petak hadapan kelima pada saingan Formula Satu (F1) musim ini selepas melakukan catatan masa terpantas 1:29.304 saat (s) pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Jepun di Litar Suzuka semalam.
Meskipun pelumba Ferrari, Charles Leclerc cuba mencabar pendahulu kejuaraan dunia itu pada penghujung sesi kelayakan, namun hanya berpuas hati di petak kedua pada perlumbaan hari ini dengan perbezaan 0.010s.
Verstappen mengakui gembira dengan petak hadapan yang diraih memandangkan dia bermula sedikit perlahan pada awal saingan selain hampir berlanggar dengan pelumba McLaren, Lando Norris.
“Saya sangat gembira untuk kembali ke litar ini biarpun ia satu trek yang cukup sukar. Walaupun ada bahagian belakang jentera yang jatuh semasa saingan, namun saya masih mampu untuk mendapatkan petak hadapan.
“Kami bermula agak perlahan kerana tayar sejuk sehingga hampir berlanggar dengan Lando (Norris), tetapi lega memandangkan tidak ada perkara buruk yang berlaku,” kata pelumba Belanda itu selepas tamat sesi kelayakan.
Sementara itu, dia juga menaruh sepenuh keyakinan jenteranya akan berada pada prestasi terbaik, sekali gus mampu untuk membantunya memenangi perlumbaan ke-12 musim ini selain mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kejuaraan.
“Perlumbaan esok (hari ini) pastinya sangat menarik dan saya harap cuaca akan terus baik. Kita tunggu dan lihat sahaja perlumbaan itu nanti kerana saya yakin sepenuhnya dengan kemampuan jentera,” ujar Verstappen. – AGENSI