fbpx

Sejuta maklumat pengguna Facebook berisiko bocor akibat ‘aplikasi jahat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH papan tanda memaparkan logo Meta dipasang di hadapan ibu pejabat syarikat itu di Menlo Park, California pada 28 April lalu. – AFP

MENLO PARK, CALIFORNIA – Syarikat induk Facebook, Meta Inc. (Meta) mengeluarkan amaran kepada pengguna aplikasi media sosial itu mengenai risiko kebocoran maklumat log masuk melibatkan kira-kira sejuta pengguna, lapor laman berita Wion News semalam.

Menurut kenyataan rasmi Meta, kebocoran maklumat itu berlaku kerana kewujudan ‘aplikasi jahat’.

Aplikasi-aplikasi itu disediakan di Google Play Store dan Apple Store sebagai permainan video atau aplikasi lain untuk menipu orang ramai supaya memuat turunnya. Ia kemudian mengakses telefon bimbit pengguna melalui halaman log masuk Facebook.

Penyelidik-penyelidik Meta berpendapat bahawa dalam kebanyakan situasi, aplikasi itu akan meminta pengguna untuk melog masuk ke akaun Facebook mereka dan dalam proses itu, ia bertindak mencuri maklumat nama pengguna dan kata laluan.

Bilangan aplikasi sedemikian dianggarkan mencecah sehingga 400 dan pelbagai jenis. Jurucakap Meta mengesahkan bahawa Facebook ketika ini cuba memastikan bilangan sebenar pengguna yang terjejas.

“Ini adalah ruang yang sangat kritikal. Sementara itu, rakan-rakan industri kami berusaha untuk mengesan serta mengalih keluar perisian itu (aplikasi jahat).

“Beberapa aplikasi ini sulit untuk dikesan dan berjaya memasuki pasaran aplikasi yang sah,” tulis Pengarah Gangguan Ancaman Meta, David Agranovich dalam blog rasmi syarikat itu.

Meta telah menghubungi syarikat Google dan Apple untuk menyahsenaraikan aplikasi-aplikasi tersebut daripada kedai dalam talian mereka dan memberikan laporan lengkap berkaitan penemuannya.

Syarikat itu turut menghubungi sebilangan pengguna yang berpotensi terjejas untuk membimbing mereka mengenai cara untuk melindungi data tersebut.

Menurut Agranovich, syarikat itu lebih mudah untuk memberi perhatian tentang isu berkenaan disebabkan gangguan tersebut tidak berlaku pada sistem Meta. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI