PETALING JAYA – Mungkin kita selalu dengar ayat ‘luar setinggan, dalam kondo’ bagi menunjukkan sebuah kediaman yang luarannya nampak buruk, manakala di dalamnya cantik ibarat mahligai mewah.
Ternyata hal ini sememangnya wujud, berlegar di beberapa laman deko rumah di laman sosial Facebook ketika ini berkenaan foto sebuah rumah kampung yang dilihat secara luarannya seperti rumah buruk.
Namun, perkongsian daripada pemilik asal foto tersebut, Paradise Paradise Yameela menunjukkan sebuah rumah papan yang dihias dalamannya seperti sebuah rumah moden.
Pilihan perabot serta eksesori rumah terbabit dilihat tepat dengan padanan warna dinding yang dipilih oleh tuan kediaman tersebut.
Tidak dipastikan secara tepat di mana lokasi sebenar kediaman itu namun, dilihat kepada kereta Proton Wira di halaman rumah ternyata lokasinya adalah Malaysia.
Rata-rata pengguna media sosial turut memuji kebijaksanaan tuan rumah dalam memilih tema sesuai yang menjadikan kediaman tersebut nampak segar dan baharu.
“Kalau duduk dalam rumah ini memang tidak nampak keadaan sebenarnya dari luar, bijak pemilik rumah ini,” kata Nad Rusali.
“Mana-mana kediaman tidak kira buruk atau baru, kalau kita pandai hias memang akan jadi cantik.
“Saya puji pemilik rumah ini, rasanya tidak banyak dia habis, tapi aturan perabot dan hiasannya menampakkan rumah ini mewah dan baharu,” jelas Teh Ah. – KOSMO! ONLINE.