PETALING JAYA – Kemungkinan besar satu pengumuman bakal dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
Sumber dalaman UMNO ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi berkata, pengumuman tersebut bakal dibuat pada sebelah pagi esok.
“Tidak boleh nak kata lagi, mungkin bubar (Parlimen) atau tidak, kalau ada mungkin pagi esok,” katanya.
Desas-desus pembubaran Parlimen kembali kencang apabila ada dakwaan mengatakan Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong petang tadi.
Sebelum ini, Ismail Sabri juga telah bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
Namun, sebentar tadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan Lawatan Khas bermula esok hingga 16 Oktober nanti. – KOSMO! ONLINE.