PETALING JAYA – Motosikal Honda Cub atau Honda C70 yang mula dikenali pada 1982 telah menjadi pilihan dan buruan anak muda ketika ini.
Mesra dipanggil Honda Petak, pada akhir 90-an dan awal 2,000-an motosikal ini sememangnya menjadi pilihan kepada ‘mat motor’ ketika itu kerana mudah diselenggara dan ditambah ‘power’.
Bukan itu sahaja, budak-budak baharu berjinak dalam dunia permotoran juga boleh membuka enjin jentera ini kerana didapati penghasilannya amat ringkas.
Namun, motosikal ini kemudiannya menyepi. Ada yang ditinggalkan di bawah pokok rambutan dan ada juga dijadikan sebagai pelapik barangan di halaman rumah.
Ketika usia motosikal ini menjengah 40 tahun, masih ramai lagi memburu khazanah dari Jepun ini untuk dibaik pulih menjadi rupa asal jentera jimat minyak ini.
Terkini, jika dihitung dengan usianya dan cc kenderaan ini, harga yang sepatutnya ditawarkan adalah dalam lingkungan RM800, namun jangan terkejut apabila ada yang membelinya pada harga RM4,000 ketika ini.
Menerusi Facebook Group Honda CDI C70, masih ramai peminat jentera ini membaik pulih semula kenderaan purba ini menjadikannya seperti baru keluar kilang.
Rata-rata peminat motosikal ini sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu menjadikan kenderaan ini sebagai lagenda yang masih diingati.
Malah ramai peminat C70 ini menyimpan khazanah ini dalam keadaan yang amat baik dan baru berbanding motosikal idaman wanita, Yamaha Y15. – KOSMO! ONLINE.