JAKARTA – Polis Republik Indonesia (Polri) memaklumkan bahawa hanya dua daripada lapan pintu kecemasan di Stadium Kanjuruhan, Malang dibuka semasa insiden rempuhan yang mengorbankan 131 orang pada 1 Oktober lalu, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia, semalam.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo berkata, dua pintu kecemasan yang dibuka hanya digunakan untuk pertukaran pemain dan pegawai kelab Persebaya Surabaya.
“Hanya dua daripada lapan pintu kecemasan dibuka iaitu hanya digunakan untuk pemindahan pemain kelab Persebaya Surabaya.
“Enam lagi ditutup, berkunci dan tidak boleh digunakan,” katanya.
Menurutnya, insiden itu berlaku kerana kecuaian pihak penganjur yang tidak menyediakan pelan kecemasan semasa perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.
“Jawatankuasa eksekutif (panpel) dan Presiden Pengarah Liga Indonesia Baru (PT LIB) tidak melakukan audit kecemasan,” tambahnya.
Polis sebelum ini telah mengeluarkan nama enam suspek utama bagi tragedi rempuhan itu yang dibahagikan kepada tiga orang awam dan tiga pegawai polis termasuk Presiden Pengarah Liga Bola Sepak Indonesia (PT LIB), Akhmad Hadian Lukita.
Selain itu, seramai 20 anggota polis turut disyaki melanggar kod etika semasa menjalankan tugas keselamatan. Antara yang terlibat termasuk enam anggota Polis Malang dan 14 anggota Polis Daerah Jawa Timur. – Agensi