fbpx

EPL: Liverpool mahu jadi pasukan sukar dijangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIVERPOOL mengubah sistem dan formasi ketika mereka berjaya mencatat kemenangan ke atas Rangers pada aksi Liga Juara-Juara sebelum ini. – AFP

LIVERPOOL – Pengendali Li­verpool, Jurgen Klopp menggesa para pemainnya khususnya di bahagian pertahanan untuk memberikan aksi paling sempurna ketika berdepan Arsenal di Emirates malam ini.

The Reds ketika ini memasang impian untuk mendapatkan semula rentak kemenangan selepas mereka sekadar terikat 3-3 menentang Brighton minggu lalu biarpun sedar berdepan laluan sukar untuk menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Klopp menegaskan semua pemainnya perlu memainkan pe­ranan dan tanggungjawab masing-masing pada perlawanan itu bagi mengelakkan mereka berdepan ‘amukan’ Arsenal yang mendapat suntikan semangat penyokong sendiri.

“Kami perlu konsisten. Untuk mendapatkannya, kami perlu bertahan dengan baik walau apa cara sekalipun melibatkan semua pemain. Semua perlu mengambil tanggungjawab ini tanpa seorang pun terlepas.

“Saya tidak minat untuk me­ngatakan ‘kami baik di bahagian ini atau kami lemah di bahagian ini’. Tidak, semua perlu bermain dengan baik dan tidak boleh membiarkan mana-mana pemain merosakkan aksi dan menjadikannya ‘sampah’,” katanya.

Dalam beberapa perlawanan lalu, Liverpool mempamerkan kelemahan ketara terutama di bahagian pertahanan mereka sehingga sering bolos awal sekali gus membuatkan tugas untuk memenangi perlawanan menjadi sukar.

Kekecewaan ketika aksi menentang Napoli pada aksi Liga Juara-Juara dan Brighton pada Liga Perdana Inggeris menyebabkan Klopp mengambil keputusan mengubah sistem dan formasi ketika menentang Rangers.

“Amat penting untuk kami menjadi pasukan yang sukar dijangka dan kami memerlukan sistem yang berbeza.

“Kami tidak mahu menjadikan perkara ini suatu yang sukar, tetapi ia adalah sistem yang berbeza. Kami perlu memilih yang sesuai untuk berdepan lawan seterusnya,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI