KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhasrat untuk menganjurkan ekspo pameran dan jualan berskala besar pada tahun hadapan bagi memperkasakan lagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM)
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ekspo pameran dan jualan yang dijangka dilaksana pada pertengahan tahun hadapan berkenaan diinspirasi daripada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
“Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sudah berjalan sejak tahun 1984 namun kesannya tidak berapa sangat.
“Sehubungan itu, kita hendak melakukan perubahan (kaedah kempen) bagi mendapatkan hasil yang lebih luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke gerai pameran dan jualan Karnival Jom Heboh di Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.
Rosol berkata, ekspo pameran dan jualan KBBM itu akan disertai pemain industri tempatan termasuk pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) seluruh negara.
Tambah beliau, ekspo berkenaan akan mengumpulkan sebanyak mungkin pengusaha produk tempatan berpotensi seperti kereta, motosikal, pendingin hawa dan produk makanan.- KOSMO! ONLINE