KLUANG- Niat seorang wanita dari Taman Sri Lambak yang datang ke Karnival Tentera Darat untuk melihat aset pertahanan rupanya membawa tuah apabila terpilih untuk memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal jenis SYM, 125.
Rusilah Moyong, 47, selain melihat aset pertahanan, kedatangannya juga untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Ketika beliau datang ke khemah utama tadi, saya sempat bergambar dan menemuinya sambil berseloroh agar nombor tiket cabutan bertuah saya menjadi pilihan untuk memenangi hadiah utama.
“Selepas dua pemenang nombor dua dan tiga diumumkan, saya bagaikan bermimpi apabila nombor tiket saya disebut oleh juriacara majlis,”katanya.
Rusilah turut melahirkan rasa teruja apabila dua pemimpin kesayangannya iaitu Hishammuddin serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyampaikan hadiah kemenangan itu.