PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas bermula esok hingga 16 Oktober ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada 12 Oktober ini.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua mencerminkan keakraban dengan Baginda Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu,” katanya kenyataan itu sebentar tadi.
Tambah kenyataan itum pada 12 Oktober lalu, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.
Berkeluasan 16.99 hektar, Steen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion.
“Seri Paduak Baginda berdua dijadualkan mengakhiri Lawatan Khas ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, dari segi hubungan dua hala, United Kingdom merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia pada 2021 dengan jumlah dagangan direkodkan di antara kedua negara sebanyak RM17.17 bilion, peningkatan 2.9 peratus berbanding 2020.
Nilai eksport Malaysia ke United Kingdom pada tahun lalu juga telah direkodkan sebanyak RM9.78 bilion, manakala nilai import dari United Kingdom sebanyak RM7.39 bilion. – KOSMO! ONLINE.