GUA MUSANG – Lebih 10,000 penduduk di kawasan berisiko banjir di daerah ini diingatkan agar bersiap sedia sepanjang masa bagi menghadapi musim tengkujuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, penduduk di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada kerana cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini.
Katanya, beberapa kawasan rendah di daerah Gua Musang sering terdedah dengan banjir kilat selepas berlaku hujan lebat berterusan melebihi dua jam.
“Saya ingin berpesan kepada para penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dinaiki air supaya bersiap sedia dengan menyimpan dokumen dan barangan penting.
“Penduduk di kawasan berkenaan perlulah sentiasa berwaspada dan patuhi arahan pihak keselamatan yang terlibat sekiranya diarahkan berpindah ke kawasan selamat,” katanya kepada pemberita selepas Program Galas Motor Day dan Pelancaran RG 45 di Taman Etnobotani di sini hari ini.
Menurut Mohd. Syahbuddin, antara lokasi yang sering dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat di kawasan pedalaman merupakan penempatan yang terletak berhampiran Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.
Tambahnya, antara lokasi yang mudah dinaiki air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ialah di Kampung Kundur, Kampung Batu Papan, Kampung Pulai dan Kuala Betis.- KOSMO! ONLINE