JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah keluarga mengira timbunan duit syiling di atas karpet yang disimpan selama bertahun-tahun untuk menunaikan umrah, lapor laman berita Suara.com.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @dunia_kaumhawa.
Tujuh ahli keluarga itu dilihat bersama-sama mengira duit syiling yang ditabur di atas karpet merah di ruang tamu rumah mereka.
Duit syiling itu dikumpul oleh seorang wanita selama bertahun-tahun di dalam beberapa tin biskut.
Melihat kepada jumlah yang begitu banyak, duit itu dikatakan cukup untuk membawa wanita itu ke Tanah Suci.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Idea yang bijak untuk tidak dimakan oleh anai-anai,” kata seorang netizen.
“Ya Allah, banyaknya, Berapa tahun kamu mengumpulnya dan kira-kira berapa hari berjaya habis mengiranya,” komen netizen lain. – Agensi