Pembentangan Bajet 2023 kali ini agak unik kerana dibuat tiga minggu lebih awal kerana pada kebiasaan pembentangan belanjawan negara hanya dilaksanakan pada hari Jumaat minggu akhir Oktober setiap tahun.
Lebih menarik, bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selama hampir dua jam itu dikaitkan dengan bajet pilihan raya seiring bahang panas spekulasi berkemungkinan Parlimen akan dibubar dalam masa terdekat ini.
Tengku Zafrul yang segak bergaya berpakaian baju Melayu berwarna turqoise (biru firus) lengkap bersamping itu sekali lagi mencuri tumpuan seluruh masyarakat membentangkan satu belanjawan inklusif dan menyeluruh, bakal menjadi penampan kepada krisis ekonomi global tahun depan yang semakin mencabar.
Jumlah peruntukan Bajet 2023 yang agak ketara bezanya dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion itu bersesuaian dengan keprihatinan kerajaan untuk memberi manfaat kepada semua masyarakat.
Penambahbaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dalam pembentangan kali ini juga bertepatan dengan pertambahan kos taraf hidup pelbagai lapisan masyarakat yang sentiasa mengeluh dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang melampau.
Manfaatkanlah bantuan wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing untuk kelangsungan dan kehidupan semasa selain mengekalkan disiplin untuk terus menabung bersesuaian dengan tawaran daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) yang akan menyediakan dana pinjaman mudah kepada golongan B40 melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Melalui tawaran kadar faedah 1.5 peratus oleh bank berkenaan dengan melibatkan dana sebanyak RM100 juta itu perlu direbut oleh kumpulan tersebut.
Peruntukan itu membuktikan kerajaan serius untuk memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera memiliki saham amanah untuk membantu mereka bernafas sekiranya dilanda ribut kecemasan pada masa depan.
Jangan jadikan alasan, menyimpan sedikit lama-lama jadi bukit boleh berjaya menabung dengan jumlah yang banyak kerana kini sukar dibuktikan tanpa disiplin yang cukup ketat.
Desakan kehidupan yang serba mencabar, dugaan berbelanja dalam persekitaran segala barang dan perkhidmatan naik berganda membuatkan tabiat menyimpan agak culas juga.
Jika dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun boleh habis dikeluarkan jika diberi peluang apa lagi sekiranya simpanan dalam ASB.
Memandangkan jenama ASB yang cukup sinonim dengan masyarakat bumiputera dan keupayaan PNB membayar agihan pendapatan yang munasabah setiap tahun, maka agak menyedihkan jika peluang menabung itu dipersiakan begitu sahaja.