fbpx

Pura-pura bantu mangsa kemalangan sebelum larikan motorsikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motorsikal milik mangsa yang dilarikan suspek

AMPANG – Bermula dengan ‘wayang’ niat baik membantu seorang lelaki warga asing kemalangan motorsikal, dua orang lelaki bertindak melarikan kenderaan milik mangsa dalam satu kejadian di Lorong Kijang, Klang Gate, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sekitar pukul 1 pagi hari kejadian, mangsa yang berusia 27 tahun itu telah mengalami kemalangan kecil melibatkan motorsikal Yamaha Y15 warna biru miliknya.

Katanya, selepas kemalangan, mangsa didatangi dua lelaki tempatan tidak dikenali yang mahu membantu dan menghantarkan mangsa dan motorsikalnya pulang ke rumah.

“Tiba sahaja di rumah, mangsa menyedari motorsikal miliknya yang dipandu oleh salah seorang suspek berkenaan telah tiada.

”Mangsa bertanyakan kepada seorang lagi suspek yang menghantarnya tentang keberadaan motorsikal itu, suspek berkenaan terus beredar dan meninggalkan mangsa di rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, bermula semalam, menerusi beberapa siri tangkapan pihak polis di sekitar Setapak dan Lembah Klang, lapan tangkapan berjaya dibuat.

Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 Warna Biru milik mangsa dan motorsikal jenis Honda dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

Menurut Mohamad Farouk, tangkapan tersebut melibatkan enam lelaki dan dua wanita tempatan dalam lingkungan usia 25 hingga 48 tahun.

Tambahnya, suspek-suspek yang ditangkap bekerja pelbagai bidang antaranya sebagai penghantar makanan, pelayan kedai, peniaga dan suri rumah.

“Ujian air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif dadah jenis amfetamin dan keputusan reman diperolehi bermula hari ini sehingga Selasa depan.

“Modus operandi suspek membawa lari motorsikal mangsa untuk digunakan dan meracang untuk dijual sebagai alat ganti kemudian,” jelasnya.

Sehubungan itu, siasatan akan diteruskan dalam penglibatan tangkapan dalam kejadian curi motorsikal yang lain di Ampang.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI