fbpx

Pembinaan feri baharu P. Pinang capai 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Feri baharu Pulau Pinang yang kini dalam fasa pembinaan di Vietnam dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2023.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memaklumkan kemajuan pembinaan feri baharu adalah mencapai 40 peratus dan dijadualkan siap pada Jun 2023.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, SPPP telah mengadakan lawatan ke dua tapak pembinaan feri Pulau Pinang baharu pada 3 hingga 4 Oktober lalu di Vietnam.

“Objektif lawatan adalah bagi meninjau kemajuan projek pembinaan feri baharu serta mengadakan perbincangan bersama pihak pembekal dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) berkaitan pembinaan dan jadual penghantaran feri ke Pulau Pinang.

“Kemajuan pembinaan feri adalah 40 peratus dan dijadualkan siap pada bulan Jun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri ini sejak 126 tahun lalu, diganti bot penumpang laju bermula 1 Januari 2021 sementara menantikan feri baharu siap dibina.

Feri sedia ada pula digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.

Menurutnya, pihaknya gembira apabila feri baharu itu sedang rancak dibina secara serentak di kedua-dua limbungan di Vietnam, malah komponen-komponen feri serta bentuk feri Pulau Pinang yang baharu telah mula kelihatan.

Selain itu, katanya, pelancaran kapal untuk pengujian air dijadualkan pada Mei 2023 dan akan dihantar ke perairan Pulau Pinang pada penghujung bulan Jun 2023.

“SPPP akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa mengenai perkembangan feri baharu Pulau Pinang. Maklumat lanjut berhubung konsep feri dan sebagainya pula akan dimaklumkan oleh PPSB kelak,” katanya.

Beliau memberitahu, SPPP percaya pengenalan feri Pulau Pinang yang baharu akan memberi nafas baharu kepada konsep reka bentuk feri serta berupaya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Dalam pada itu, katanya, PPSB telah memanggil satu tender terbuka bagi perolehan feri Pulau Pinang yang baharu.

“Sebanyak 36 syarikat telah memasuki tender tersebut dimana 23 pembida adalah syarikat tempatan dan 13 pembida adalah syarikat antarabangsa.

“Sembilan pembida telah disenarai pendek dan PPSB seterusnya telah melantik Damen Shipyards Gorinchem B.V. Netherlands sebagai pembida yang berjaya. Damen Shipyards Gorinchem B.V. Netherlands merupakan pembida yang dapat memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh PPSB,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI