WASHINGTON – Sebuah klip video tular di media sosial Amerika Syarikat (AS) memaparkan sebilangan kanak-kanak ketakutan apabila disergah oleh orang dewasa yang memakai topeng Halloween, lapor akhbar Daily Star semalam.
Video itu dirakam di pusat jagaan Lil’ Blessings Childcare di Hamilton, Mississippi.
Kanak-kanak dilihat ketakutan dan menangis ketika pekerja yang memakai topeng muka mengelilingi bilik darjah dan menjerit ke arah mereka.
Pada satu ketika, salah seorang daripada mereka bertanya: “Adakah anda nakal?”
Kanak-kanak itu menafikannya dan menggelengkan kepala sambil menangis.
Menurut kenyataan dari pusat jagaan itu, empat pekerja yang terlibat telah dibuang kerja susulan kejadian itu.
Sheila Sanders yang mula bekerja di taska itu pada 1987 memberitahu bahawa salah satu klip video itu dirakam pada bulan lalu dan satu lagi dirakam pada 4 Oktober lepas.
Dia hanya mengetahui mengenai video itu Rabu lalu. Menurutnya, perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Orang yang melakukan perbuatan itu tidak lagi bersama kami. Mereka dipecat.
“Saya tidak membenarkan perkara ini dan tidak pernah melakukannya. Kes ini sudah diselesaikan,” kata Sanders. – Agensi