GEORGE TOWN – Peniaga ayam standard di negeri ini sekali lagi dihimpit dengan isu kenaikan harga barangan basah itu selepas pembekal menaikkannya sebanyak dua kali bulan ini sehingga mencecah RM9 sekilogram.
Rata-rata peniaga atau peruncit kini mula merungut tentang harga tidak seragam yang dikenakan pihak pembekal berbanding harga kawalan iaitu RM8.10 sekilogram.
Ketika ini, penetapan harga siling bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar awam di Barat Daya dan Timur Laut, di sini semalam mendapati tidak berlaku kenaikan harga di peringkat peniaga dan masing-masing akur dengan harga kawalan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Seorang peniaga di Pasar Chowrasta, Mohamad Nasir Abdul Kalam, 31, berkata, berlaku kenaikan harga bekalan keperluan itu pada 2 dan 5 Oktober lalu iaitu antara RM8.90 sehingga RM9 sekilogram.
Menurutnya, situasi tersebut dipercayai berlaku berikutan perubahan harga ayam hidup di peringkat peladang sehingga memaksa pihak pembekal
mengenakan harga di luar kawalan.
“Kami ada dimaklumkan pembekal tentang perkara ini (kenaikan harga ayam standard). Pembekal mengatakan, kekurangan bekalan ayam di ladang antara punca kenaikan harga di peringkat peladang.
“Disebabkan perkara tersebut, pembekal terpaksa mengenakan caj perkhidmatan termasuk pengangkutan yang lebih bersama harga ayam semasa.
“Kini harga seekor ayam yang dijual kepada peniaga antara RM8.90 hingga RM9 sekilogram berbanding RM8.10 sekilogram sebelum ini. Kami hanya untung 40 sen,” katanya.
Ujarnya, kerajaan perlu memantau dan menyelesaikan isu berbangkit di peringkat pembekal dan penternak dengan segera.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Fahmi, 46, berkata, mereka kini semakin dihimpit keresahan apabila dimaklumkan akan berlaku lagi kenaikan harga ayam minggu ini.
“Pembekal boleh naik sesuka hati harga ayam. Kami pula terpaksa bertahan dan akur dengan harga kawalan ditetapkan.
“Tidak adil bagi kami jika kenaikan harga yang berlaku di peringkat bawah tidak dipantau. Kami peniaga yang terkesan kerana perlu mengeluarkan modal tinggi sehingga RM9 sekilogram bagi seekor ayam standard.
Kosmo! pada 4 Oktober lalu melaporkan, beberapa bahan mentah termasuk ayam standard, daging lembu import, telur ayam bersubsidi, cili merah, kulai, sawi dan bawang menunjukkan penurunan harga pada September sekali gus membuka peluang kepada rakyat untuk berjimat ketika berbelanja.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan harga itu dilaporkan sepanjang Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang menawarkan potongan sehingga 20 peratus berbanding pasaran.