fbpx

Lori terbakar, 4,000 ekor ayam hidup hangus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangkai-bangkai ayam yang terbakar dalam kebakaram sebuah lori di Kilometer 10, Jalan Lebuh Raya Timur-Barat, dekat Jeli semalam. -Foto IHSAN BOMBA

JELI – Kira-kira 4,000 ekor ayam hidup hangus selepas lori yang membawa muatan ternakan itu terbakar di Kilometer 10, Jalan Lebuh Raya Timur Barat di sini semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 12 tengah malam itu menyebabkan kerugian sebanyak RM80,000 apabila sebuah lori dan ayam-ayam itu hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, lori muatan ayam itu dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersama kelindannya sedang dalam perjalanan dari Lumut, Perak.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek sebelum berlaku kebakaran secara tiba-tiba.

“Pemandu dan kelindan lori tersebut sempat keluar dari lori dan menyelamatkan diri sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Difahamkan, bekalan ayam berkenaan akan dihantar ke Pasir Mas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Adni, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.15 tengah malam sebelum 10 anggota bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, lori tersebut terbakar hampir 100 peratus. Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran.

“Hanya 200 ekor ayam dapat diselamatkan dalam kejadian itu manakala 4,000 ekor lagi hangus terbakar. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI