fbpx

Lelaki maut kereta bertembung lori tangki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung lori tangki di Batu 8 Segari Jalan Sitiawan-Pantai Remis hari ini. - Foto Ihsan Bomba

LUMUT – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Sitiawan-Pantai Remis di Batu 8 Segari dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang berusia 48 tahun dan memandu kereta jenis Perodua Axia maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada tubuh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan mendapati ketika kejadian lori tangki jenis Hino bermuatan biji soya dari arah Segari menuju ke Pantai Remis, manakala kereta tersebut dari arah bertentangan.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku akibat daripada pemandu Axia dari arah Pantai Remis hilang kawalan dan telah masuk ke laluan lori tangki lalu bertembung dan terbabas ke tepi jalan.

“Pemandu Axia lelaki tempatan maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori tangki lelaki juga warga tempatan berumur 38 tahun hanya cedera ringan di bahagian kaki dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba didapati mangsa disahkan telah meninggal dunia dan tersepit di tempat duduk pemandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI